Monday, November 19, 2007

Kepupusan Harimau
(Akibat Aktiviti Pemburuan Haram?)

Laporan TV3 dalam Buletin Utama yang masuk hari kedua (18 dan 19 November) mengenai kepupusan Harimau menarik minat saya untuk menulis komen diblog ini pada hari ini. Mengikut laporan tersebut, Harimau di negara ini akan pupus jika tiada kawalan terhadap kegiatan pemburuan haram dan pengeksportan daging haiwan itu ke luar negara. Ini kerana seekor harga seekor Harimau Malaya (Harimau Belang)adalah diantara RM18,000 hingga RM20,000 manakala harga bagi Harimau Kumbang pula boleh mencecah sehingga RM12,000. Laporan TV3 itu juga menyebut bahawa Harimau itu dibunuh dan dagingnya akan dilapah sebelum dieksport ke Thailand, China, Korea dan Taiwan untuk dijadikan makanan istimewa exotic. Pemburuan haram itu dijalankan di hutan Kelantan, Pahang dan Perak dan dilakukan bersama penduduk negara jiran, Thailand.

Berita yang hampir sama pernah dilaporkan oleh Berita Harian pada tahun 2006 (http://www.jphpk.gov.my/Malay/Apr04%2028.htm) , namun kesan yang diberikan kepada masyarakat mengenai kepupusan ini tidaklah terlalu tinggi jika dibandingkan laporan TV3 yang disertai gambar dan video.

Jika dilihat dari segi kepupusan Harimau, tidak dinafikan Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera Tigris Malayensis sememangnya semakin berkurangan. Raja Rimba ini diancam bukan sahaja disebabkan oleh aktiviti pemburuan, tetapi juga kerana habitat mereka diganggu, diteroka dan pembalakan selain faktor lain seperti perubahan ekologi seperti cuaca dan gangguan rantaian makanan. Berita Harimau masuk kampung dan mengancam nyawa penduduk adalah salah satu impak kesan daripada gangguan terhadap habitat mereka.

Undang-undang di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 menyenaraikan Harimau sebagai haiwan terlindung. Tidak dinafikan akta ini mampu melindungi kucing besar itu. Namun, penguatkuasaan yang longgar disamping aktiviti pemburuan dan penerokaan serta pembalakan yang berleluasa terbukti gagal melindungi species tersebut. Akta dan penguatkuasaan yang tidak seragam antara kawalan hidupan flora dan fauna hutan oleh Jabatan Hutan dan Jabatan Perhilitan dilihat sebagai salah satu faktor penyumbang. Memang mudah menunding jari kepada pihak ini, namun cara penyelesaian yang lebih mantap perlu difikirkan. Memang benar lebih banyak perkara lain perlu difikirkan seperti kemantapan ekonomi dan mengekang inflasi, namun perlu diingat bahawa species Harimau Malaya inilah yang 'mendokong' Jata Negara. Kementerian yang berwajib perlu segera memandang serius perkara ini.

Perlu diteliti dari segi ekonomi, jika terdapat sesuatu permintaan maka suatu penawaran perlu diadakan (Demand & Supply). Penawaran yang sedikit menyebabkan harga Harimau ini begitu tinggi kerana tidak dapat memenuhi permintaan.

Oleh yang demikian, salah satu perkara yang dilihat sebagai cara penyelesaian ini ialah dengan meminda Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972. Selain mengharamkan haiwan ini diburu, pindaan supaya Harimau ini boleh 'diternak' dipercayai dapat membantu species ini. Pemberian lesen kepada pengusaha yang berkelayakan untuk menternak Harimau pasti mampu mengeluarkan dan memasarkan daging haiwan ini. Kedengaran seperti satu jenaka, namun melalui teknologi terkini, pastinya ianya dapat dilakukan. Bukan sahaja dapat mengelakkan Harimau daripada pupus, tetapi juga mampu menambah pendapatan pengusaha. Walaupun daging Harimau statusnya hampir tidak halal (makruh) bagi umat Islam kerana tabiat dan pemakanan species Harimau ini, namun ianya adalah jauh lebih baik daripada penternakan khinzir. Walaubagaimanapun, syarikat yang diberikan lesen perlulah benar-benar berkelayakan seperti tempat yang sesuai, pekerja terlatih dari segi veterinar dan hidupan liar serta dipantau secara dekat oleh pihak yang berkenaan.

Tidak perlu dihuraikan mengenai warisan kepada generasi akan datang dalam penulisan ini kerana ianya telah banyak dilaporkan di mana-mana umpama lirik lagu cinta yang mudah dihafal.

Namun, mungkin telah tiba masanya kita mengambil langkah konsevatif atau dilabel sebagai orthodoks demi species terancam ini.

Labels: , , ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home