Monday, June 09, 2008

Minyak. dan Langkah Kerajaan

Semenjak harga minyak dinaikkan berikutan pengurangan ‘subsidi’ yang menyaksikan harga minyak naik sehingga 40% (dari RM1.920 kepada RM2.704 seliter), kerajaan telah mengumumkan beberapa langkah susulan bagi membendung kesan kenaikan ini dan menanganni inflasi yang dijangka meningkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa tindakan kerajaan itu “memeritkan tetapi terpaksa dilakukan”. Walaubagaimanapun umum mengetahui tentang kenaikan harga minyak dunia tetapi tidak dapat menelan keperitan yang dimaksudkan kerajaan kerana adanya fakta bahawa Malaysia adalah sebuah negara pengeluar minyak.

Terbaru ketika karangan ini dibuat, Perdana Menteri baru sahaja mengumumkan mengenai potongan 10% elaun Menteri dan Timbalan Menteri yang dilihat oleh pemerhati ekonomi sebagai langkah penyelesaian politik.

Minyak dan politik adalah begitu sinonim dan amat sukar untuk dipisahkan daripada perbendaharaan kata terutama menjelang pilihanraya. Minyak juga begitu sinonim dengan pertumbuhan ekonomi melalui pengaruhnya terhadap Indeks Harga Pengguna (CPI), subsidi kerajaan, asas penjanaan tenaga industri dan isi-rumah, disamping faktor-faktor pengaruh global.

Adakalanya fakta dan asas ekonomi tidak boleh diguna-pakai dalam menangani perkembangan ekonomi sesuatu negara. In kerana pengumuman kerajaan ada kalanya berubah-ubah dan bercanggahan anatara satu sama lain. Sebagai contoh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Shahrir Samad memberi jaminan bahawa harga barang tidak akan naik. Namun, pada masa yang sama Bank Negara mengumumkan tekanan inflasi yang dijangka tinggi hingga melepasi 5.0 peratus bulan ini atau 4.2 peratus hingga akhir tahun ini sebelum meningkat pada 2009. Ianya sesuatu yang memeningkan pakar ekonomi kerana percanggahan maklumat yang datangnya dari sayap kerajaan. Jika dirujuk pada dasar defisit fiskal yang dilaksanakan kerajaan, unjuran Bank Negara adalah yang paling betul manakala dari KPDNHEP telah memberikan satu janji kosong dan dianggap satu gimik politik semata-mata.

Jika dilihat dari sudut perkembangan ekonomi, kerajaan dilihat sedang cuba berbuat sesuatu. Seperti pengumuman kenaikan minyak yang lalu (2007) kerajaan mengumumkan akan menggunakan penjimatan subsidi untuk memperbaiki kemudahan pengangkutan awam. Namun, sehingga kini rakyat masih belum merasa faedahnya.

Jika dilihat dari sudut pusingan aliran, kerajaan telah berjaya mengurangkan perbelanjaan ke atas subsidi minyak. Namun dari sudut lain, kerajaan sebenarnya telah menolak subsidi tersebut kepada barangan lain samada yang berkaitan dengan minyak atau pun tidak. Kos pengangkutan yang tinggi pasti akan menaikkan kos keseluruhan pengedaran sesuatu barang yang akhirnya dipindahkan kepada pengguna atau rakyat. Kuasa membeli rakyat akan berkurangan dan ini semestinya memberikan kesan yang amat tajam kepada mereka yang berpendapatan rendah. Akhirnya, kerajaan akan ditekan untuk menaikkan subsidi barangan ini atau menghadapi krisis pengurangan bekalan (terutama makanan yang kini menjadi isu global).



Saya sudah letih untuk menulis. Kini saya rasa lebih baik menulis karangan yang bersifat protes terhadap kerajaan. Saya rasa cukup tertekan..